Monday, August 21, 2017

Benteng penangkis sihir dan tangkal dengan ayat al-Qur'an menurut ajaran ulama pencinta Ahlul Bait (a.s)


(Bahagian pertama)

Kuasa ghaib

Tidak hanya di zaman ini sahaja manusia menyangka diri mereka terkena ilmu hitam, mengalami gangguan jin atau merasakan kehadiran makhluk ghaib dalam kehidupan sehingga timbul keresahan, kesan psikologi dan ancaman keselamatan.

Hakikat kuasa ghaib.
Telebih dahulu ketahuilah kekuatan ghaib juga bernaung di bawah kuasa Allah (s.w.t) yang wujud dalam empat kategori:

(1) kekuatan pendamping
(2) kekuatan ritual
(3) kekuatan telekinesis
(4) kekuatan keramat

Dalam artikel ini, kami akan huraikan kekuatan pertama dan kedua sahaja. Kekuatan pertama ialah kekuatan pendamping yang meliputi golongan syaitan dan jin. Dari sini pendamping merupakan entiti yang berasingan dari manusia dan sejenis kehidupan yang bebas. Sekiranya insan ingin meminta bantuan golongan ini, ia perlu mengambilnya sebagai pendamping. 

Golongan kedua ialah kekuatan ritual yang menggunakan lafaz-lafaz mentera, nombor-nombor, jadual dan simbol-simbol. Kekuatan ini diaktifkan dalam bentuk upacara tertentu seperti sihir, kedukunan dan tangkal.

Golongan ketiga ialah kekuatan telekineses yang berkaitan dengan roh manusia. Dengan menjalani asuhan jiwa secara serius seperti kekuatan fokus atau mata, manusia mampu mengalihkan objek tanpa menyentuhnya.

Sementara itu kategori terakhir ialah kekuatan keramat yang dianugerah oleh Allah kepada hamba-hambanya yang taat. Kudrat ini diperolehi tanpa perantara roh atau kekuatan fokus. Kekeramatan tidak mengalami proses pembelajaran dan latihan jitu seperti 3 kategori sebelum ini. Ia merupakan tanda-tanda kebesaran Allah dan makrifat yang tinggi.

Penjelasan tentang kekuatan pendamping dan ritual.
Kekuatan kategori pertama meliputi syaitan dan jin walaupun asal usulnya kelihatan mirip, namun perbezaannya juga adalah ketara. Kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi tingkat kedudukan yang lebih lemah berbanding manusia dan tidak mempunyai kuasa untuk masuk ke dalam pentas zahir kehidupan manusia.

Syaitan yang dikepalai iblis pada asalnya tidak mampu bertindak, memaksa dan memberi kesan terhadap manusia. Menurut al-Qur'an, kerja-kerja syaitan hanyalah menghasut manusia untuk cenderung pada perbuatan buruk. Ia bertugas membisikkan was-was sedangkan manusia sendiri yang memilih untuk terjebak ke dalam dosa. 

Golongan jin pula adalah kehidupan seperti manusia yang memikul taklif dan mempunyai pilihan untuk bertindak. Mereka juga bertanggung jawab melaksanakan perintah Allah. Seperti komuniti manusia, jin juga ada yang beriman dan ada yang kafir. 



Bersambung...

(Bahagian ke-dua)
Terdapat pertanyaan apakah insan dapat berinteraksi dengan kekuatan pendamping (Jin dan syaitan) dan memanfaatkan kekuatan mereka di samping tidak memberi kesan terhadap kehidupan?

Jawapan: Dalam situasi biasa, kekuatan ini tidak mungkin dapat masuk dalam kehidupan manusia. Namun boleh jadi dengan perbuatan kotor insan dapat berinteraksi dengan kekuatan-kekuatan ini. Bertitik tolak dari sini,  jin-jin mukmin yang terikat dalam format kehidupan dunia tidak bersedia untuk diperalat oleh manusia. Sungguhpun terdapat dalil yang menyabitkan penglibatan jin-jin mukmin dengan para ulama dan urafa, namun ia hanyalah dalam rangka urusan keagamaan dan secara sementara semata-mata. Namun jin yang bukan mukmin boleh jadi terpedaya dan mengikuti petunjuk kelompok manusia tidak beragama dengan menjalankan tugas seperti mendapatkan  laporan berita. Golongan jin ini kemungkinan memberikan kesan dalam juzuk-juzuk kehidupan lain. Kehidupan individu-individu beriman dan bertakwa terpelihara dari kesan-kesan jusuk-juzuk ini. Keimanan dari dimensi ini merupakan benteng pertahanan yang sangat kuat dari gejala buruk jin dan syaitan. Golongan yang percaya kepada Allah dan berpegang pada ajaran agama tidak merasakan kesan terhadap kekuatan-kekuatan ini. 

Perlu diingatkan di sini, ramai individu-individu yang menduga bahawa kekuatan ini telah masuk ke dalam kehidupan mereka padahal realitinya adalah tidak seperti yang disangka. Namun unsur-unsur ini memang berpotensi untuk masuk campur dalam kehidupan salah seorang insan yang dinisbah dari ribuan manusia. Demikian juga amalan ritual (sihir, ilmu hitam dan tangkal) yang memang wujud namun ramai manusia yang tersalah sangka bahawa ilmu tersebut telah mempengaruhi kehidupan mereka. Ada yang menggunakan pendamping untuk menyingkirkan ilmu-ilmu sihir itu.

Yang menjadi masalah di sini ialah golongan yang tidak berpegang teguh dengan amalan agama terlalu mudah terkena perbuatan syaitan. 

إِنَّما سُلْطانُهُ عَلَی الَّذینَ یتَوَلَّوْنَهُ وَ الَّذینَ هُمْ بِهِ مُشْرِکونَ‌

Sesungguhnya ia menakluki orang yang menerima pengaruh kuasanya dan orang yang menjadi musyrik dengannya. (al-Nahl ayat 100)

Dari sisi lain, al-Qur'an menyatakan kekuatan syaitan tidak dapat menakluki orang beriman:

إِنَّهُ لَیسَ لَهُ سُلْطانٌ عَلَی الَّذینَ آمَنُوا وَ عَلی‏ رَبِّهِمْ یتَوَکلُونَ‌

Sesungguhnya ia tidak mempunyai autoriti menakluki golongan yang beriman dan bertawakkal dengan Tuhan mereka. (Al-Nahl ayat 99)

Jangan lupa gejala pengaruh kesyaitanan ini di peringkat awal bukanlah secara statik atau mendadak. Iaitu ia tidak masuk ke dalam kehidupan manusia secara langsung, bahkan dengan perantara individu-individu yang meminta untuk menjalankan misi-misinya sehingga mendatangkan kecederaan rohani dan psikologi individu lain. Namun disebabkan keimanan mangsa itu terlalu lemah, kemungkinan besar ia terdedah kepada penaklukan syaitan. Dalam kata yang lain, dua faktor yang menjadi penghalang kekuatan ini: (1) Kepercayaan dan tawakkal kepada Allah (2) Mengamalkan amalan-amalan dan zikir-zikir tertentu.

Perlu diingatkan di sini, terdapat mukjizat dalam lafaz-lafaz dan kalimah-kalimah tertentu untuk mencegah kejahatan jin. Antaranya ialah membaca beberapa lafaz ayat al-Qur'an sebagaimana yang telah ditegaskan dalam beberapa riwayat. Instrumen lafaz-lafaz terdiri dari 3 perkara:

(1) Ayat al-Kursi, (2) Surah al-Falaq, dan (3) Surah al-Nas.

Mengenai surah al-Nas dan al-Falaq, Ayatullah Bahjat berkata: 
ما که ناس و فلق را داریم نیاز به هیچ حرزی نداریم.
Kita sudah mempunyai surah al-Nas dan al-Falaq, tidak perlu lagi sebarang hiriz.

Terdapat banyak riwayat mengenai ayat al-Kursi yang tidak mungkin disebut di sini. Begitu juga ayat-ayat lain yang dianjurkan pengamalannya seperti yang diriwayatkan daripada Imam Ja'far al-Sadiq: Aku hairan melihat individu yang terkena buatan dan tipu daya orang tetapi tidak berlindung dengan ungkapan ini:
(افوض امری الی الله، ان الله بصیر بالعباد.(غافر، 44)
Aku serahkan urusanku kepada Allah, Sesungguhnya Allah maha melihat terhadap hamba-hambanya.

Ayatullah Kashmiri (yang pernah menjadi pembantu khas Imam Khomeini) pernah ditanya, bagaimanakah cara untuk berlindung dari syaitan? Beliau berkata, sekiranya ia membaca ayat al-Kursi, al-Nas dan al-Falaq, nescaya ia dilindungi. (Ruh al-Bayan, muka surat 137)

Namun terdapat satu pesanan daripada Ayatullah Bahjat bagi menyingkirkan bahaya kekuatan-kekuatan pendamping, iaitu kekuatan ritual al-Qur'an yang menjadi rawatan ampuh. Enam garis panduan mengenai amalan yang perlu diamal semuanya:

(1) Membawa al-Qur'an kecil
(2) Membaca Mu'awwizatayn (surah al-Falaq dan al-Nas)
(3) Membaca ayat Kursi dan melekatkannya di rumah
(4) Membaca empat Qul (al-Ikhlas, al-Kafirun, al-Falaq dan al-Nas) dan mengulanginya terutama ketika tidur.
(5) Mengulangi lafaz azan dengan suara yang sepatutnya tatkala mendengar azan berkumandang.
(6) Membaca 50 ayat al-Qur'an setiap hari dengan suara yang sepatutnya. 
(Kitab Porsisha-ye- Shoma wa posokha-ye Ayatollah Behjat, jilid 1)

Amalan di atas telah diberikan kepada mereka yang telah terkena sihir dan kecederaan mata.
Selain itu, Ayatullah Bahjat menasihati agar memberi sedekah, membaca mu'awwizatayn dan mengulangi "لاحول و لا قوه الا بالله" bagi mencegah kecederaan mata dan ilmu sihir. 
Selain itu, terdapat riwayat yang menganjurkan penulisan surah Yasin dan membawanya demi mencegah sihir dan kecederaan mata. 
Ada juga riwayat menganjurkan bacaan ayat:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا (1) لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا (2)
Manfaatnya ialah bagi merungkai ikatan atau membuka sesuatu yang tertutup. (Mafatih al-Jinan, bab 3)

حمزه شریفی‏دوست
بخش قرآن تبیان  
Hamzah Sharifdust,
Bahagian al-Qur'an, tebyan.net

No comments:

Post a Comment